Dec 6, 2011

Itukah Anakku?

Pagi itu pagi Jumaat. Syahid teringat akan perancangannya untuk bertemu dengan seorang sahabat, Azzam, yang agak lama tidak bersua muka. Pada awalnya, dia merancang untuk pergi pada hari Khamis tetapi keutamaan meluangkan masa bersama ibu bapa tetap menjadi prioriti. Maklumlah, cuti semester hanya tinggal lagi seminggu. Syahid berasa bersemangat untuk masuk ke semester baru walaupun semester itu hanyalah semester pendek.

Keheningan pagi masih terasa. Jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi. Kelihatan burung-burung berterbangan mencari rezeki. Terlintas di fikiran Syahid akan ayat Tuhan yang berbunyi,
“Dan tidak ada suatu binatang pun melata di bumi ini melainkan Allahlah yang memberikan rezekinya...”

Pertemuan dengan Azzam dijanjikan pada seawal jam 8 pagi. Dia seharusnya bersiap-siap dengan kadar yang segera. Namun, sesuatu tidak dijangka. Abangnya yang baru pulang semalam dari KL perlu menggunakan motorsikal kerana hendak bertemu dengan doktor tesisnya di UTM.

Perancangan Syahid sedikit terganggu. Begitulah Tuhan menentukan segalanya. Walaupun begitu, ayah Syahid, Zamri, berasa bersalah kerana tidak memberitahu anaknya lebih awal.

Zamri memutuskan untuk menghantar anaknya ke rumah Azzam.

“Assalamualaikum! Kaifahaluka?”Syahid bertanya khabar.

“Waalaikumussalam. Sihat. Anta pula bagaimana?”

“Macam ni lah, Alhamdulillah”

“ Awal pagi ni. Emak ana tak masak apa-apa lagi nih. Marilah kita pi restoran mamak, sarapan dulu”

Seperti biasa Syahid dan Azzam akan mula bersembang tentang hal-hal pelajaran dan beralih kepada hal-hal semasa. Usai sahaja bersarapan, mereka bergerak kembali ke rumah Azzam.

Sememangnya agak lama Syahid tidak bertandang ke rumah Azzam. Dia melihat banyak perubahan. Alhamdulillah, begitu banyak nikmat Tuhan, moga-moga Allah menjadikan keluarga ini hamba-Nya yang bersyukur.

Syahid dan Azzam menyambung perbualan mereka di rumah.

“Ana sekarang nih ‘study week’. Maklumlah rumah pun dekat. ‘Study' kat rumah lah jawabnya”

“Hmm..aha....kalau ana kat rumah memang dah tak berapa boleh study”

“ Baguslah begitu. Lagi pun U  pun kat KL. Kalau cuti tu kena ‘study’ awal lah sebelum balik”

“Eh, abang Azmi tak pergi sekolah ka?” kedengaran adik Azzam, Humaira, bertanya.

Syahid tidak mengesyaki sesuatu yang pelik. Mungkin adik Azzam, Azmi, bercuti. Setahunya, Azmi belajar di sekolah pondok agama di Baling. Syahid teringat kisah silam Azmi ketika di sekolah yang sama. Bagaimana ibu bapa Azmi membuat keputusan menghantar anaknya ke sekolah pondok setelah Azmi mempunyai masalah disiplin. Rokok merupakan salah satu kebiasaannya.

Beberapa minit selepas itu, emak Azzam memberi salam. Oh, patutlah rumah sunyi-sepi. Emak Azzam tiada di rumah ketika ini.

“Oh, Syahid mai rumah ”

“Waalaikummussalam, mak cik sihat ka?”

“Mak cik sihat” jawab emak Azzam.

“Azzam jamu apa kat tetamu kita nih? ”

“Mak, kami dah sarapan kat restoran mamak kat depan tu”

Azzam dan Syahid berbual lagi. Dari satu topik berpindah ke satu topik.Tiba-tiba, kedengaran suara lantang emak Azzam, Ruslina, memarahi seseorang.

“Nanti ayah hang balik, siaplah hang Azmi. Mak dah bagi ‘warning’. Jangan dok kawan dengan budak-budak yang tak senonoh tu. Mak letih dah dengan hang. Jangan kata mak tak bagi peluang. Ni, pakai celak kat keliling mata tu ikut sapa?Hang bagi celak tu cepat. Nabi pun tak ajar pakai celak macam ni.”

“Bukan salah dia mak”

“Hang jangan dok ajar mak, Azmi. Mak taulah. Awat abang dan adik hang, Azzam dan Humaira tak jadi macam ni pun.Sekarang ni, hang jangan dok pakai handset dah. Mak ambil handset ni. ”

Syahid terkedu seketika. Dia merasakan kedatangannya ke rumah Azzam bukan pada waktu yang tepat.

“Anta faham-fahamlah. Adik ana ni bermasalah sikit. Ana ke dalam kejap, ambil buku sekejap”

“Syahid, mak cik nak tanya sikit ni. Nak buat macam mana dengan anak mak cik seorang nih. Mak cik dah buat macam-macam. Mak cik dah hantar dia pi sekolah pondok, lepas tu result elok. Bagi dia masuk Maktab Mahmud, Alor Star. Dok tak lama dia buat pasal. Cari gaduh dengan senior. Ada asrama dia nak dok rumah sewa. Sekarang pi sekolah dekat dengan rumah nak ponteng. Tak mau pi sekolah,dok rumah, macam Humaira ni sebab ada hari sukan hari ini tak apa la. Syahid,mak cik nak buat macam mana lagi ni?”

Syahid terkelu seketika. Emak Azzam tiba-tiba keluar dari bilik yang berdekatan dengan ruang tamu sambil melontarkan satu soalan. “Sudahlah aku belum berkeluarga, pengalaman pun masih secubit. Kalau kawan bolehlah aku menjawab dengan selesa. Inikan orang yang makan asam garam lebih daripadaku”, bisik hati kecil Syahid.

"Mak cik, saya pun tak faham la sangat dengan anak-anak muda zaman sekarang ni. Walaupun saya pun masih muda, namun perubahan dunia globalisasi yang pesat telah memungkinkan segala-galanya berubah. Anak-anak muda yang lahir selepas saya kelihatannya terjerumus dalam momentum tujahan sosial yang amat besar. Lihat saja berita pembuangan bayi di dada akhbar, saya pun terkilan. Apa yang saya rasa mak cik patut buat ialah banyakanlah berdoa.Mungkin mak cik dah banyak berusaha tapi doa seorang ibu amat penting untuk anaknya"

"Mak cik sentiasa doakan dia Syahid. Setiap selepas solat mak cik sentiasa doakan untuk dia. Tapi, itulah dia asyik macam tu la jugak"

"Mak cik, kalau mak cik dah berusaha dan berdoa maka apa lagi yang boleh kita lakukan sebagai hamba Allah, hanya bersabar la mak cik. Mungkin Tuhan nak menguji mak cik & memberi ganjaran yang amat besar di akhirat sana"

"Hmm..Itu ayah Azzam dah balik agaknya"

Deruman enjin kereta perlahan-lahan kedengaran menghampiri rumah. Ayah Azzam agaknya.

"Assalamualaikum.Oh, Syahid mai rumah rupanya. Apa khabar nak?"Sambil bersalaman dengan Syahid.

" Alhamdulillah pak cik, sihat"

" Sekarang ni cuti semester ka?Awal betul daripada universiti Azzam"

" Ya, pak cik. Universiti saya ni agak cepat sikit sesi pegajiaannya"
"oh begitu, baiklah, pak cik masuk dulu"

"Abang, tengokanlah dulu anak kita, Azim ni. Ke sekolah ke ke mananya?"

"Itulah.Abah dah nampak seorang budak sekolah macam Azim pakaiannya. Tapi abah pun rasa anak abah ke sekolah, taklah berperangai ponteng sekolah macam ni. Rupa-rupanya memang betullah Azim.Azim! Malam ni hang jangan nak pergi mana-mana!Jumpa abah lepas isyak"

Syahid pulang ke rumah selang beberapa minit kemudian sambil memikirkan sesuatu.Pengajaran yang amat berguna untuk diingati.

Ya Allah. Kiranya jika aku bersikap kurang ajar terhadap kedua ibu bapaku kini, sudah tentu Tuhan akan membalasnya ketika aku berkeluarga nanti.
 

About Me

My photo
Saya merupakan seorang penulis blog bebas & pernah belajar jurusan Kejuruteraan Bioteknologi & Biomas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM/IIUM) yang amat berminat dengan transformasi ilmu atau pertukaran idea bagi menambahkan pengetahuan.Saya sangat mengalu-alukan kepada sesiapa yang ingin berhubung atas dasar ilmu dan kepentingan umat Islam sejagat..