Dec 12, 2014

Biar Hidup Bermakna, Biar Pengalaman Memberi Rasa...

Umur kita semakin meningkat. Waktu yang kita ada juga semakin singkat. Kerana apa? Kerana kita akan bertemu dengan satu masa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t di dalam Lauh Mahfuzh, iaitu masa kematian.

Hati saya mula terdetik untuk mengaktifkan semula blog yang telah lama ditinggalkan selepas lamunan yang agak panjang; Memikirkan diri sendiri dan umat Islam yang mudah tenggelam. Tenggelam dalam tanggungjawab berselang-seli bercampuran dengan nikmat dunia yang tidak panjang. Kemudian ia melahirkan simpati, simpati yang melahirkan prihatin terhadap keadaan umat khususnya golongan anak muda-mudi Islam, yang kian hilang identiiti diri sebagai seorang Mukmin.


Detikan hati daripada Allah s.w.t, lalu Dia jugalah yang menggerakkan jasad ini setelah hati  ini direndam dalam beberapa majlis ilmu serta beberapa pembacaan ilmiah. Saya merasakan satu kerugian sekiranya blog saya ini ditinggalkan, sementara saya masih diberi nafas oleh Tuhan, Allah s.w.t. Kalian sebagai pembaca blog yang budiman juga pasti mampu membayangkan, betapa ruginya sekiranya ilmu bermanfaat tidak disebarkan di dalam medium yang akan terus hidup biarpun kita sudah tiada lagi di atas muka bumi ini. Hal ini turut mengingatkan saya bahawa pada suatu ketika dahulu saya pernah berazam bersama peserta-peserta satu seminar penulisan bahawa kami akan menghasilkan paling kurang sebuah buku sepanjang kehidupan di dunia ini. Betapa ruginya andainya kita tidak meninggalkan meskipun hanya sebuah buku.

Buku?-->Ilmu yang bermanfaat.

Ingatan saya berpindah pula terhadap kisah-kisah Sang-sang Ustaz dalam majlis ilmu berkenaan 3 perkara (berdasarkan hadis nabi s.a.w) yang bakal memberi manfaat setelah roh kita terpisah daripada jasad; Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ      يَدْعُوْ لَهُ                                                                                                

"Apabila seorang anak Adam mati terputuslah amalnya kecuali tiga perkara; Sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."



Riwayat Bukhari & Muslim

Ilmu yang bermanfaat mungkin sudah sinonim buat kita. Kita boleh merasakan bagaimana mereka yang telah tiada di atas muka bumi ini namun masih terasa segar di ingatan seperti mereka masih hidup. Karya-karya tokoh seperti 'Risaail-Al-Imamu-Syahid’ oleh  Hassan al-Banna dan tafsir Fil Zilal Qur'an oleh Sayyid Qutub umpamanya memberi nadi kepada umat Islam pada masa kini. Kita tidak dapat membayangkan betapa banyak pahala yang mampu dikirimkan melalui khazanah ilmu bermanfaat yang ditinggalkan selagi ia dapat dimanfaatkan oleh mereka yang masih di atas muka bumi ini.

Kata seorang ustaz, sedekah boleh memanjangkan usia sepertimana kisah seorang insan yang membayarkan daging untuk seorang ibu miskin. Suatu ketika insan tersebut telah jatuh sakit yang boleh menyebabkan kematian, dan setelah beberapa selang masa yang tidak panjang, sakitnya sembuh dengan izin Allah.

Manakala doa anak yang soleh, inilah merupakan perkara yang belum terjangkau oleh saya sendiri. Dari mana pula hendakkan anak yang soleh sedangkan isteri yang solehah pun belum dimiliki?


Menyedari hakikat kesibukan diri telah menenggelamkan saya, saya mengambil kesempatan ruang yang ada untuk menyinggahkan diri ke kedai buku untuk meluaskan kembali skop pemikiran yang telah lama ditenggelami oleh kesibukan. Saya berkira-kira juga untuk membeli buku. Bukannya kerana tidak mahu membeli buku tetapi saya khuatir diri ini terbeli terlampau banyak buku sedangakan bajet yang diperuntukkan hanyalah beberapa buah buku. Itulah ketakutan saya ketika berada di sesebuah kedai buku, ketakutan terjatuh cinta dengan banyak buku.

Salah satu buku yang mengetuk hati saya untuk kembali menyegarkan prinsip hidup dengan bermakna adalah buku yang saya pernah lihat di atas rak 'roomate' saya di UIAM tetapi tidak tergerak hati saya untuk meminjam daripadanya; 'Aku Terima Nikahnya' dicetak sewaktu anak-anak muda universiti pada ketika itu ghairah dengan isu berkahwin semasa usia muda manakala saya hanya dapat memberi komen sepatah dua ketika isu ini menjadi bualan rakan-rakan. Memikirkan hal akademik yang entah ke mana serta ilmu agama yang tak seberapa, isu ini tidak berjaya menarik minat saya pada ketika itu lebih-lebih lagi apabila Allah s.w.t telah memberikan satu petunjuk kepada saya.

Sehinggalah pada hari ini, Allah telah memberi isyarat bahawa masa yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana boleh jadi kesibukan saya pada masa hadapan tidak menyempatkan diri ini untuk memantapkan diri dalam ilmu perkahwinan dan kekeluargaan. Maka takdir Allah telah menimbulkan semula tajuk-tajuk buku yang pernah dicari satu ketika dahulu tetapi tidak ditemui seperti kitab Muhimmah dikarang oleh  Syeikh Abdullah Ibnu 'Abdul Rahim Fathani dan kitab Tarbiyatul Aulad karangan Dr Nasih Ulwan.

Sesungguhnya pada satu ketika dahulu buku-buku seperti ini tidak banyak dicetak tetapi kini saya mampu melihat tajuk-tajuk buku sekitar hal ini tumbuh umpama 'cendawan selepas hujan'. Bahkan kuliah lengkap berkenaan syarah kitab Muhimmah juga sudah mudah didapati kini di laman-laman sesawang.


Antara Buku yang telah Dibaca

Satu petikan hadis di dalam buku tersebut yang menyuntik kembali semangat prinsip hidup saya satu ketika dulu 'Biar Hidup Bermakna' ialah hadis di bawah:



عن جابر قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « المؤمن يألف ويؤلف ، ولا خير فيمن لا يألف ، ولا يؤلف، وخير الناس أنفعهم للناس 


Diriwayatkan daripada Jabir berkata,”Rasulullah s.a.w bersabda,'Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.”

Riwayat Thabrani dan Daruquthni

Ya. Kehidupuan ini bukanlah setakat berjaya menghafal teori-teori akademik, menggenggan segulung diploma atau ijazah kemudian bekerja seperti orang kebiasaan dan makan gaji. Lalu tidur dengan keadaan selesa dalam 'zon selamat'. Sekiranya periuk nasi tidak diganggu tidur akan  diteruskan. Bahkan nilai kehidupan adalah lebih daripada itu. Tanyalah mereka yang pernah merasai nikmat nilai kehidupan ini.

Nilai kehidupan------>Akhirat yang abadi.

Ketika anda sendiri tertanya-tanya diri akan kekosongan dan kegersangan kehidupan ini,  adakah anda sendiri pernah bertanya pada diri sendiri, "Adakah hidupku sudah cukup bermakna dan pengalaman yang tidak dapat dibeli telah memberi rasa dalam hidup ini?"

Kesemua ini terletak kepada niat anda yang suci untuk menuju kepada Allah di akhirat yang kekal abadi. Biar Hidup Bermakna, Biar Pengalaman Memberi Rasa begitulah tema blog saya berubah untuk kali ini.

_______________Biar Hidup Bermakna, Biar Pengalaman Memberi Rasa______________________

Tema Lama Blog Ini


Tema Baru Blog Ini








1 comment:

Anonymous said...

Perkongsian yg bagus..terima kasih sahabat..sudah memliki buku Aku Terima Nikahnya tetapi belum sempat membacanya..

 

About Me

My photo
Saya merupakan seorang penulis blog bebas & pernah belajar jurusan Kejuruteraan Bioteknologi & Biomas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM/IIUM) yang amat berminat dengan transformasi ilmu atau pertukaran idea bagi menambahkan pengetahuan.Saya sangat mengalu-alukan kepada sesiapa yang ingin berhubung atas dasar ilmu dan kepentingan umat Islam sejagat..