Feb 8, 2015

Keberkatan Masa Perlu Dicari & Diusahakan

Walaupun diri ini berasa semakin sibuk dari hari ke hari, kesibukan ini mengingatkan saya bahawa keberkatan masa itu perlu dicari. Kadang-kadang masa yang ada terasa tidak mencukupi, kadang-kadang masa yang ada terasa sangat banyak melampaui.


Mengapa kita tidak mendapat keberkatan masa? Apa itu keberkatan masa?  Bagi saya sendiri, menempuhi kehidupan ini, keberkatan masa bukannya terletak pada kuantiti masa yang diperolehi tetapi kualiti pengisian masa itu sendiri. Ada orang yang dengan satu jam, dia mampu melakukan & menyelesaikan kerja atau tanggungjawab yang pelbagai tetapi ada orang dengan satu jam dia hanya mampu makan dan minum. Ada orang dengan satu jam dapat melakukan pelbagai jenis ibadah tetapi ada orang yang hanya mampu melakukan satu jenis ibadah.

Keberkatan masa adalah kurniaan Allah s.w.t. yang kadang-kadang sukar dipercayai oleh manusia kerana ia adalah sesuatu yang abstrak. Contohnya, Si Fulan bin Fulan mempunyai keadaan hidup yang lebih kurang sama dengan kita tetapi kita berasa hairan, Si Fulan tersebut mampu melakukan pelbagai perkara .Hal ini terbukti dapat dilihat apabila ulama silam seperti Imam al-Ghazali mampu mengarang sebanyak 300 buah kitab dalam masa lebih kurang tempoh 14 tahun.
  
Kita tertanya-tanya juga, ramai manusia yang berumur 40 tahun tapi adakah ada yang mampu mengarang 300 buah kitab apabila meniggal dunia pada umur 54 tahun? Itulah legasi hasil keberkatan masa Imam al-Ghazali.

Keberkatan masa ini perlu dicari. Keberkatan masa ini pernah juga disentuh di dalam artikel Dr Maza. Saya tidak bermaksud menghuraikan keberkatan masa ini secara ilmiah. Apa  yang ingin saya tekankan di sini adalah kesedaran dalam mencari keberkatan masa itu amat penting dan perlu diusahakan.

Keberkatan masa itu terdapatnya pada hakikat kedudukan masa itu sendiri seperti waktu sebelum subuh dan waktu selepas subuh atau hakikatnya ia bergantung juga bagaimana kita menguruskan masa lapang. Begitulah Allah memberitahu rahsia kepada kita.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas r.a., Baginda bersabda,

"Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat."


Ini merupakan satu contoh isyarat yang menunjukkan terdapat keberkatan dalam kedudukan masa itu sendiri.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-A'raf ayat 96 :

"Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Ayat pintu pengurniaan dalam ayat Quran di atas ini mensyaratkan keimanan dan ketakwaan dalam memperoleh keberkatan. Inilah rahsia dalam mencari keberkatan masa, bagaimana kita menguruskan masa sama ada dalam keimanan & ketakwaan ataupun sebaliknya? Kerana ini adalah antara prasyarat untuk mencari keberkatan masa.

Sewajarnya kita memanfaatkan masa lapang yang ada sepertimana Rasulullah mengingatkan rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara yang kebanyakan manusia suka terleka di dalamnya, iaitu masa.
Sabda Rasulullah SAW



“Dua nikmat daripada nikmat Allah S.W.T yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah; sihat dan masa lapang” (HR Bukhariri )

Masa yang lapang itu harus diisi dengan amal yang berfaedah, padahnya jika kita mengisinya dengan perkara yang tidak berfaedah, ber ‘facebook’, ber ‘what up’ dan ber’ chatting’ keterlaluan serta sebagainya, boleh jadi Allah akan menarik keberkatan masa itu sendiri. Kita sering mendengar malah memahami makna surah al-asr itu sendiri. 
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".
(Surah al-Asr)

Intipatinya ayat ini turut mengingatkan bahawa kebanyakan manusia itu tidak dikurniakan keberkatan masa kecuali mereka itu yang disebutkan dalam surah al-asr. Maka mereka berada dalam kerugian.

Ketika ini saya sedang menyusuri hari-hari yang berlalu tanpa sebuah telefon ‘smart phone’ kerana rosak & dihantar ke pusat pembaikian untuk mendapatkan ‘warranty’ selama beberapa minggu.

 Allah kembali mengingatkan diri saya untuk memperkemaskan mutaba’ah(pengawasan) amal yang bukan saja skopnya dalam ibadah khusus malah juga ibadah umum seperti mengkhatamkan buku, hafazan hadis atau al-qur’an serta ulangkaji ilmu akademik lama yang beberapa bulan ditinggalkan.

Pada masa ini, saya bersyukur yang amat tidak terhingga kerana Allah mula memberikan saya semula kembali keberkatan masa seandainya kita tidak terleka.

Inilah kita sebagai hamba-Nya:

Rasulullah bersabda,


“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa; memohon kepda Allah, waktu  ia menghitung diri sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.”(HR Ibnu Hibban)



No comments:

 

About Me

My photo
Saya merupakan seorang penulis blog bebas & pernah belajar jurusan Kejuruteraan Bioteknologi & Biomas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM/IIUM) yang amat berminat dengan transformasi ilmu atau pertukaran idea bagi menambahkan pengetahuan.Saya sangat mengalu-alukan kepada sesiapa yang ingin berhubung atas dasar ilmu dan kepentingan umat Islam sejagat..