Nov 4, 2015

Kisah Cinta

" Aku rasa agak sebak malam ni. Mungkin, kalau aku duduk sendirian, rasa-rasanya air mata aku boleh  mengalir laju"





"Sahabat, kau dah kenapa? Minggu-minggu nak 'exam' ni yang kau 'touching' sangat ni, apa hal?"

"Bukannya apa, bila aku tengok jemaah yang solat kat surau pada minggu ni, ia buat aku  rasa sebak dan sayu"

"Eh, sebak? Tak bagus ke? Daripada tak datang solat berjemaah, duduk memerap dalam bilik asrama tu. Aku rasa dah kira agak bagus tu masa minggu-minggu 'exam'  macam ni"

"Bukan itu maksudku. Bila aku tengok mereka ni, aku teringatkan kisah cinta, dan kisah cinta ni akan membuatkan aku rasa sebak dan sayu"

"Ehem, kisah cinta kau ke? Tak pernah pula kau cerita kat aku. Bila masa pula yang kau bercinta ni? "

"Aku rasa kau dah pernah dengar kisah cinta ni"

"Aku dah pernah dengar?Eh, kau biar betul, tak pernah pun kau cerita kat aku. Kau cerita kepada orang lain kot"

"Tak apa lah, biar aku ceritakan saja"

Cinta ni, bila kita rasa, ia amat nikmat dan mengasyikkan.Maka, sejak aku mula menikmatinya,  apabila cinta ini semakin mendalam, aku sangat takut jika suatu hari nanti aku akan merasakan kehilangannya. Yang lebih membuatkan aku tersentuh hati ialah Si Dia ni tetap berbuat baik kepadaku. Disebabkan inilah aku mudah rasa sebak dan sayu apabila teringatkan Si Dia.

Seingat aku semenjak kecil lagi, ibu bapaku sudah memperkenalkan Si Dia kepadaku. Pada mulanya, memanglah, aku tak kenal sangat dengan Si Dia ni. Masa tu mana lah aku nak bercinta dengan Si Dia. Kenal pun tidak, inikan bercinta. Tetapi, ibu bapaku seringkali berpesan kepadaku, yang Si Dia ni memang penting. Tak kisah lah aku nak buat apa atau nak pergi mana sekalipun, ibu bapaku selalu berpesan,

" Apapun, nak,  jangan kamu putuskan hubungan dengan Si Dia".

Sewaktu kecil itu juga, aku terkadang memberontak di dalam hati, "Dah kenapa  ibu bapaku melarang aku memutuskan hubungan dengan Si Dia? Aku tak pernah kenal rapat pun dengan Si Dia".

Begitulah aku sehari-hari mencari erti di sebalik hubungan yang telah diperkenalkan ini.

Lalu, hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan serta tahun berganti tahun. Umurku semakin meningkat menghampiri alam remaja. Alam yang kita semua mengerti, alam yang penuh dengan cabaran. Ketika ini Si Dia sangat banyak membantu dan menolongku. Dalam apa jua sebarang dan masalah;Ketika aku terlupa tugasan sekolah, ketika aku jatuh sakit,ketika aku kekurangan wang, ketika aku melepak dan banyak lagi. Pendek kata, kebanyakan masa, Si Dia akan ada untuk membantuku. Begitulah pengalaman dan tanggapanku sewaktu alam remaja; Adakah aku telah ditakdirkan untukku mengukir cinta dengan Si Dia?

Perjalanan masa menyebabkan cintaku terhadap Si Dia semakin berputik dan kini aku mula mengerti,  benarlah kata-kata pujangga,
"Tak kenal maka tak cinta"

Aku berasa sangat menyesal. Masa yang aku ada untuk mengenal Si Dia telah aku sia-siakan. Lantas aku segera cuba mengenali Si Dia. Betapa gembiranya aku kerana pada masa yang sama Si Dia menerima cintaku, Si Dia menghadiahkan aku dengan Si dia yang cuba mencintaiku.

Peralihan masa mengajar aku untuk menghargai cinta Si Dia. Maka aku sentiasa berdoa,
"Ya, Allah, janganlah seandainya Engkau tarik cintaku ini"

"Begitulah, Ghazi. Sebahagian saja kebaikkannya yang mampu aku ceritakan kepada kau, sahabat"

"Sahabat, betapa beruntungnya kau. Izinkan aku mengetahui siapakah nama gerangannya Si Dia itu?"

"Kau rasa?"

"Kau lebih layak untuk menyebutnya dan siapakah Si Dia itu?"

"Siapa lagi, Ghazi? Siapa lagi yang telah menjaga dan memberikan kita rezeki sejak alam rahim lagi, yang menemani dan mengajarkan kita ketika kita baru belajar merangkak, berjalan dan berlari. Yang sentiasa menolong kita di saat kita senang dan susah. Yang terus memberi dan memberi. Yang tidak berkira-kira untuk terus memberi dan mencintai. Yang lebih dekat daripada urat leher kita sendiri, tidak lain dan tidak bukan; Allah azzawajalla"

Malam itu kami digamit syahdu. Ya, siapa lagi kalau bukan ya Arhamarrahimin. Yang terus memberi biarpun ada antara hamba-Nya yang hanya mengingatinya di waktu susah dan memerlukan-Nya ketika peperiksaan sebagai misalnya.

Tubir mata kami terus dialiri; basah. Dalam diam kami mengakui kekerdilan kami ini, dalam menghayati cinta Si Dia. Kalam Si Dia, surah Saba' ayat 13 terus bergema di dalam kamar hati, semilir angin yang menghembus diri.
وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Sangat sedikit sekali di antara hamba-Ku yang mau bersyukur.” (QS. Saba’: 13).

No comments:

 

About Me

My photo
Saya merupakan seorang penulis blog bebas & pernah belajar jurusan Kejuruteraan Bioteknologi & Biomas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM/IIUM) yang amat berminat dengan transformasi ilmu atau pertukaran idea bagi menambahkan pengetahuan.Saya sangat mengalu-alukan kepada sesiapa yang ingin berhubung atas dasar ilmu dan kepentingan umat Islam sejagat..